26 July, 2013

alien : skrip hidup

Aku ini bukanlah seorang pakar jiwa. Aku juga bukan seorang yang pandai menyusun ayat memulakan kata. Aku juga bukanlah seorang yang ahli dalam menyampai nasihat.

Aku ini orang biasa-biasa, yang masih belajar makna hidup. Yang masih belajar untuk jadi manusia. Yang masih serba serbi lompong.

Mereka meminta.

Pada aku, adalah sedikit berat untuk aku melaksana. Bukanlah bermaksud untuk mengelak, melepas tanggungjawab. Bimbang tersilap kata, tersilap pandu jauh menyimpang dari arah asalnya.

Adik beradiknya ada.
Orang yang teristimewanya juga ada.
Jadi, aku berkeputusan untuk menjadi pemerhati dahulu. Mengunyah dan menghadam situasi dahulu. Andai diperlu, InsyaAllah aku sedia membantu yang termampu.

Untuk kini, biarlah mereka hadap dulu.

Semoga segalanya kembali baik-baik semula.

25 July, 2013

alien : senyum lebar

Sehari ini, aku tiada semangat. Berbuka pun sekadar yang ada, itulah yang aku hadap. Mungkin penat menghadap masalah yang kerap mengetuk pintu aku.

Namun, macam orang selalu cakap. Selepas mendung pasti akan cerah. Yelah, kalau pun cerahnya sekejap, aku tetap gembira.

Gembira yang sedikit itu seperti dadah yang merangsang semangat yang sedikit luntur.

Ya,
Terima kasih kepada penyebab gembira kecil itu. Sesungguhnya ia memberi makna besar buat aku.



24 July, 2013

alien : bulan nan seorang

Melihatkan bulan yang seorang di langit cerah, mengingatkan aku kembali pada satu judul buku yang pernah aku baca lama dulu. Mungkin 10 tahun dahulu, isinya aku memang sudah lupa. Hanya tajuknya yang masih segar dalam fikiran aku, Bulan Bugil Bulat. Itu judulnya. Sebuah karya dari Indonesia. Sebuah buku koleksi cerpen.

Jarang sekali aku melihat bulan yang besar pada malam yang sebelumnya seperti malam yang ini. Memang besar. Indah. Bulat. Membuat sesiapa yang melihatnya terpana. Subhanallah. Maha suci Allah, Tuhan pencipta alam.

Memandangkan bulan sudah mengambang penuh; purnama. Ia juga mengingatkan pada kita yang bulan Ramadhan sudah sampai di pertengahan. Tidak lama lagi ia akan sampai ke penghujung. Tidak lama lagi.

Dulu, aku pernah berharap agar Ramadhan berpanjangan, akan tetapi Syawal juga bulan yang mulia. Syawal tetap akan kunjung tiba. Syawal juga ada keistimewaannya.

Salam Ramadhan semua.
Aku ingin terus menemani bulan yang seorang pada malam ini dan malam-malam seterusnya hingga ke hujung Ramadhan




22 July, 2013

alien: dugaanNya

Ya Tuhan,
Ramadhan yang kali ini betul-betul menduga jiwa. Berkali-kali sabar. Hanya kepada Mu aku bergantung harap. Hanya kepada Mu aku mengadu. Hanya kepada Mu aku bercerita tentang diri yang lemah ini. Hanya kepada Mu aku memohon pertolongan.

Ya Tuhan.
Aku memohon dan berserah kepada Mu.

21 July, 2013

alien: aku ini letih

Rimas. Bila ada yang mengganggu waktu rehat. Ingin dimarah, tidak sampai hati. Maka bersabarlah. Jadi, badan kurang rehat. Fikiran pun penat.

Haish.

Letih tahu. Letih.

alien: menanti sinaran pagi

Mendung.

Mendung yang dari pagi sudah meleret hingga ke malam. Kalau dah malam, mana matahari akan muncul? Kalau pun bulan hadir mengganti matahari, manakan cahayanya cerah seperti siang.

Dah macam tu, tunggu esoklah.

Esok aku harap matahari sudi menjenguk aku di sini. Entah-entah mendung yang masih setia menemani. Siapa yang tahu kan. Baik mendung, baik cerah, ada hikmah. Tuhan saja maha tahu. Aku redha.

Baru sekejap tadi gugur peluh aku ke bumi.
Eh.


20 July, 2013

alien: orang tingkat pertengahan

Bila malam tiba, sunyi. Aku pun teringin berpuisi. Puisikan tentang jiwa. Ingin aku hadam '3 keping hujan', tapi, '3 keping hujan' ada di dalam kereta. Oleh kerana malam yang sunyi, aku jadi malas untuk mengambilnya. Biarlah '3 keping hujan' menemani kereta aku malam ini.

Aku tertarik padanya kerana penampilan kulitnya yang ringkas. Bersih dan tersusun. Ok. Tinggal seketika hal buku itu. Sambung semula perihal jiwa yang ingin berpuisi ini.

Aku ini orang biasa
perihal aku biasa saja
tiada yang mahu tahu
tiada yang ingin tonton
tiada ..

Kamu pula sebaliknya
semua tentang kamu itu
luar biasa ..

Ayu nya kamu
manakan padan dengan aku
yang biasa - biasa sahaja

Sopannya kamu
indah di mata mereka
lagi indah pada aku

Tutur kamu
mampu memenangi ribut
menjinak laut yang liar

Apakah tara kamu dan aku?

Aku orang biasa
hanya bermimpi
sama dengan lainnya
sejak awalnya
sejak tahun tahun sebelumnya
untuk selalu ada dengan kamu

Kamu membara semangat
orang biasa seperti aku.

: kosong satu kosong dua minit pagi, Sabtu, dua kosong Julai dua kosong satu tiga.

19 July, 2013

alien : aku yang sekarang

Beberapa tika ini, terasa ada yang kurang. Kurangnya pembaca blog ini aku tak kisahkan. Itu terpulang hak individu. Aku tulis pun bukanlah untuk paksa atau pujuk khalayak membaca. Macam aku cakap, terpulanglah.

Ya, sejujurnya.

Aku rasa sendiri. Bukanlah bererti sendiri itu 'sendiri'. Aku masih punya keluarga, saudara, sahabat, kawan.. Tapi aku masih sendiri. Sendiri ke sana ke mari. Sendiri berbuat itu ini. Sendiri.

Pernah aku cuba untuk tidak bersendiri, namun, akhirnya aku sendiri jua. Haha. Aku seluk poket, ada beberapa keping syiling dalam simpanan. Cukup-cukup untuk makan aku sendiri. Aku harus berusaha lebih keras lagi.

Heh.

Sewaktu bersendiri itu, ada juga aku mempelawa teman menghirup bersama kopi. Tapi, tidak menjadi. Kopi aku pahit. Teman itu tidak suka kopi. Apa sukanya aku tidak sempat pun tahu. Jadi, tinggal aku menikmati kopi setiap hari sendiri.

Biarpun,
Kosong cawan ini, rasanya masih terasa kuat dihujung kerongkong aku ini.

Aku memesan secawan kopi lagi dengan harapan ada yang mahu berkongsi rasa pahitnya kopi aku ini.

Begitulah aku setiap hari.


16 July, 2013

alien - dia

Ombak terusan menghempas batuan bisu, aku hanya mendengarkan. Pandangan aku terus ke langit gelap, dihiasi bintang dengan bulan yg berselindung dibalik awan. Sepertinya mendung, mungkin esok hujan.

Tikus berbunyi nakal, mengganggu pasangan muda yg sedang bersenda.

Bunyian ombak kadangkala sedikit menggila, kadangkala sedikit perlahan. Menenangkan.

Aku baring beralas batu keras, terasa nyaman. Longgar seketika urat kepala yang hari2 kian tegang. Menghilang seketika jiwa yang meronta.

Alangkah indahnya bunyian alam.