28 April, 2012

alien: bukan sekadar perhentian

Perhentian bas.
Apa yang terzahir adalah lokasi di mana bermacam umat manusia berkumpul sebelum tibanya bas yang akan membawa mereka ke destinasi yang dituju yang mungkin sama atau berbeza.

Perhentian bas juga menjadi  saksi bermacam drama manusia.
Ada yang mempamer aksi gembira, tak kurang juga yang bermuram durja.
Mungkin ada yang rungsing, sedang tenang dan ada juga yang tidak beremosi.
Juga menjadi lokasi mereka yang meminta belas dari masyarakat kita yang sememangnya terkenal dengan sikap yang suka menghulur pada yang memerlukan. Satu per satu watak dan kisah manusia terlihat juga dipersembah. Variasi cerita individu dapat dikumpul dari hujung ke hujung. 

Di celah kesibukan umat manusia yang berjalan ke sana-sini membawa beg pakaian, ada yang digalas dan ada yang menarik beg beroda melintas di depan aku yang sedang melepas lelah di sebuah bangku. Muncul seorang lelaki berbaju kemeja putih, berkopiah putih, berseluar slack kelabu dan berselipar kulit bersama anak perempuannya yang berbaju pink dan menggalas beg kecil tidak seperti kebiasaan mereka yang lain yang membawa beg besar berisi pakaian dan juga kelengkapan lain.

Lelaki itu pada pengamatan aku dalam lingkungan 50an. Berwajah tenang. Dia tersenyum dan bertanya sekiranya bangku di sebelah aku kosong. Aku mempersilakannya duduk.

Bermulalah perbualan antara aku dan pakcik itu untuk mengisi masa terluang sementara menunggu ketibaan bas yang akan membawa pakcik itu dan anaknya ke Besut.

Yusof, itulah nama pakcik itu dan anaknya itu di dalam tingkatan 3.
Sudah menjadi rutin dia turun ke Kuala Lumpur pada setiap bulan sejak 3 tahun yang lalu. Seperti kebiasaan mereka yang ke Kuala Lumpur untuk berjalan melawat saudara-kawan-tempat atau mencari pekerjaan, tapi tidak pada pakcik itu. Dia ke Kuala Lumpur demi merawat anaknya. Menemani anaknya menjalani rawatan kolesterol dialisis di Puchong atau di PJ Old Town.

Dia sendiri tidak percaya yang anaknya yang bertubuh kurus itu mempunyai kolesterol yang berlebihan di dalam darahnya. "Ujian datang dalam pelbagai cara" aku katakan pada pakcik itu juga untuk mengingatkan diri sendiri. Pakcik itu tersenyum dan mengangguk. Alhamdulillah, dengan adanya bantuan dari yayasan dia tabah menghadapi ujian yang tidak di duga itu.

Moga anak pakcik Yusof sembuh. Amin.

Perbualan kemudian berkisarkan hal-hal umum.
Dia meluahkan rasa kecewa mengenai imej dan pengaruh pelancong luar yang kini menjadi ikutan pelancong tempatan ketika melancong di pulau sekitar Besut. Yang mana telah memberi ketidakselesaan kepada penduduk setempat juga. Kami juga berbicara perihal ikan, sedikit kisah nelayan dan beberapa isu semasa. Sekali sekala terselit jenaka dalam perbualan itu.

Seketika kemudian bas mereka tiba.
Kami menamatkan perbualan.
Pakcik Yusof dan anaknya meneruskan perjalanan ke destinasi mereka; Besut, pada malam itu. Maka, dengan itu hilanglah peranan watak pakcik itu dan anaknya dalam episod kehidupan aku pada hari itu. Insya`Allah ada rezeki bertemu lagi. Bertemu dan berpisah itu salah satu lumrah kehidupan manusia, begitu kan?

Destinasi aku pada malam itu?
Pulang ke rumah setelah menghantar dan menemani dua orang kawan di perhentian bas itu dengan membawa 2 buah buku yang sempat aku beli ketika singgah di Pesta Buku di PWTC petang itu. Tak lupa secebis pengalaman dari bermacam kisah di perhentian bas itu.

Kebetulan destinasi dua orang kawan aku itu serupa dengan destinasi pakcik itu dan anaknya; Besut. Cuma yang membezakan adalah tujuan dan bas yang mereka naiki..





 

1 comment:

Aien Not Alien said...

suka perhati gelagat manusia di perhentian bas.terdapat 1001 cerita tak terungkap dengan kata-kata...